Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, March 14, 2011

Gempa bumi di Jepun

Assalamualaikum..

Jumaat petang yang lepas, kami dikejutkan dengan berita gempa bumi yang dahsyat di bumi Jepun. Patutlah petang tu tiada panggilan dari customer Jepun. Sebagai orang yang pernah tinggal di Jepun selama 4 tahun setengah, berita tentang Jepun terasa sangat dekat di hati. Apatah lagi memang pernah merasai gegaran di Jepun, cuma paling lama pun 5 minit.

Tapi, kali ini sangat hebat dan dahsyat. dari skala 7.9 naik ke 8.9. Kata seorang teman, mungkin juga naik ke 9.0. Walaupun hanya beza 0.1 tetapi memberi gegaran 30 kali ganda. Teman-teman di sana melaporkan sepanjang hari merasa gegaran. Lebih banyak bergegar dari tak bergegar. Pagi sabtu pun masih ada lagi gegaran. Kemudian, diikuti pula dengan tsunami yang sangat dahsyat. Innalillahi wainnailahiraji'um.

Terasa risau memikirkan sahabat-sahabat di sana, apalagi yang ada anak-anak kecil. tentu sedikit sukar nak menyelamatkan diri dan anak-anak. Suami punya tiada di rumah. Semua perkhidmatan train juga diberhentikan. Ada yang sampai kena berjalan kaki pulang 8 atau 9 jam sebab semua teksi dan bas pun penuh.

Pada masa tu, apa yang terfikir di fikiran ini, Alhamdulillah tidak berada di sana. Tapi seketika kemudian terus teringatkan ayat-ayat Allah.

Maka apabila sangkakala ditiup sekali tiup, dan diangkatlah bumi dan gunung-gunung, lalu dibenturkan keduanya sekali bentur.Maka pada hari itu terjadilah hari kiamat, dan terbelahlah langit, karena pada hari itu langit menjadi lemah.
(Surah al-haqqah : 13-16)

Sepantas itu terasa, sayakah yang beruntung atau mereka yang beruntung? dapat merasai bibit yang digambarkan Allah. Yang mungkin cuma 1/100 daripada keadaan sebenar apabila terjadinya hari qiamat. Tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat merasai ketakutan itu, yang harapnya dapat menginsafkan diri dan mendekatkan diri dengan Allah.

Seorang sahabat di Jepun melaporkan, orang-orang Jepun keluar ke tanah lapang dan bersujud ketakutan. Kasihan mereka. Tidak tahu arah tujuan hidup, tidak tahu mahu mensujudkan diri kepada siapa. Tetapi itulah fitrah manusia. Akan mencari dan bersujud pada suatu kuasa. Walaupun mereka tidak meyakini adanya Tuhan tetapi bila ditimpa bencana terus mencari Tuhan meminta bantuan.

Hari ni membaca update dari rakan-rakan di sana. Alhamdulillah, semuanya selamat. Cuma mungkin akan berlaku blackout kerana mereka mahu menjimatkan tenaga. Keadaan sekarang agak sejuk. Harap mereka dapat bersedia untuk segala kemungkinan.

Lagi berita tentang Gempa Bumi di Jepun.
http://www.abc.net.au/news/events/japan-quake-2011/beforeafter.htm

Ada juga yang mengaitkan peristiwa ini dengan mencari bukti-bukti dari al-Quran. Ya, Al-Quran memang sangat unik. Bila kita cari maklumat sains, maka itu yang akan kita dapat. Bila kita cari tanda-tanda, itu yang kita dapat. Tapi ingatlah al-Quran diturunkan bukan untuk mencari sains dan fakta tetapi sebagai panduan hidup. Untuk dijadikan manual dalam hidup, difahami, dipelajari dan yang penting sekali DIAMALKAN.

Semoga peristiwa ini memberi keinsafan kepada kita semua.

p/s - dengarnya kedai2 semua penuh, harga makanan semua dikurangkan. siap ada yang bagi free lagi. yang bestnya semua orang tetap sabar beratur dan menunggu giliran. Kalau jadi kat Malaysia ni agaknya bukan setakat berebut2 dan bergaduh siap harga barang melambung naik agaknya. Sungguh tak islamik walaupun ramainya orang Islam di Malaysia ni.

0 comments:

Post a Comment | Feed



 
^

Powered by BloggerPerjalanan hidup menuju Ilahi by UsuárioCompulsivo
original Washed Denim by Darren Delaye
Creative Commons License